Container Icon

Penggunaan mekanisasi di ladang sawit menjimatkan kos pengeluaran dan meningkatkan produktiviti sawit

DALAM konteks penggunaan tenaga buruh, secara khususnya boleh diperincikan kepada beberapa sektor seperti perkilangan, pembuatan dan perindustrian. Di Malaysia, penggunaan tenaga buruh masih lagi berintensifkan dan ‘dibayangi’ kebergantungan kepada tenaga buruh separuh mahir dan tidak mahir asing. Jadi tidak hairanlah, pada tahun 2009 sahaja, jumlah pekerja asing di sektor perladangan dan komoditi khususnya kelapa sawit mencatatkan bilangan 502,229 orang dan daripada jumlah itu 372, 000 atau 74.12 peratus adalah pekerja asing. Malah lebih daripada 90 peratus pekerja asing itu bekerja sebagai penuai buah tandan segar. 

Oleh itu, dalam konteks mentransformasi industri sawit negara ke arah lebih produktif dan kompetitif, kerajaan telah mengenalpasti penggunaan mekanisasi dalam aktiviti di ladang sebagai satu Projek Permulaan (EEP) Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang digariskan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). 

Penggunaan mekanisasi ini adalah salah satu rancangan di bawah Projek Permulaan (EPP) dalam meningkatkan produktiviti pekerja ladang, iaitu EPP ke-3 daripada lapan EPP Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi minyak sawit. Rasional daripada mekanisasi yang dilaksanakan memberikan implikasi positif pada jangka masa panjang khasnya dalam mencapai Petunjuk Keberhasilan Utama (KPI), Kementerian Sumber Manusia dalam ETP yang mensasarkan mengurangkan bilangan pekerja asing kepada 110,000 menjelang tahun 2020. 

Namun sebenarnya, yang menjadi okjebtif serta keutamaan pihak MPOB dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam program mekanisasi kejenteraan seharusnya dipuji kerana MPOB telah mengorak langkah membangunkan jentera untuk kegunaan ladang dan diguna pakai syarikat perladangan sawit. Pusat Penjeteraan Ladang yang ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) jelas telah mengubah ‘skrip’ industri sawit negara kerana hampir 30 jentera berteknologi tinggi dan mampu milik berjaya dihasilkan seperti Galah Penuaian Aluminium, Pemungut Tandan Buah Sawit, Treler Motosikal dan terbaru Cantas atau lebih tepat lagi Penuai Buah Sawit Bermotor. 

Tidak dapat dinafikan, hasil inovasi MPOB iaitu penggunaan Penuai Buah Sawit Bermotor (Cantas) telah terbukti mampu meningkatkan produktiviti sawit. 
Mengikut kajian yang telah dijalankan, alat penuai cantas berupaya meningkatkan tuaian buah tandan segar sebanyak 2.8 tan bagi setiap pekerja sehari berbanding 1.5 tan dengan menggunakan alat penuaian konvensional. Ini secara puratanya, bilangan tandan yang dapat dituai sejam berjumlah 75 tandan berbanding 50 tandan yang mampu dituai melalui kaedah konvensional sedia ada. Dalam kaedah ini, secara tidak langsung pendapatan pekebun kecil dan peladang mampu ditingkatkan sekali ganda dalam tempoh sebulan dan meningkatkan produktiviti sawit. 

Kesannya kepada industri sawit negara khususnya untuk pasaran eksport dapat ditingkatkan dan sekaligus sasaran untuk mencapai pendapatan lebih RM128 bilion dalam indsutri sawit menjelang 2020 dapat dicapai. Selain itu, kaedah pemotongan pelepah sawit juga lebih mudah menggunakan alat ini kerana ianya lebih ringan, mudah dikendalikan serta menjimatkan masa dan tenaga. Meskipun penggunaan Cantas belum dipraktikan secara meluas, MPOB giat mempromosikan alat ini melalui Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) bagi memudahkan peladang memiliki alat ini dengan harga lebih rendah di pasaran. 

Pemenang Kategori B 
MUHAMAD HAIQAL BIN HASSAN (960619-10-5585) 
SMK SUNGAI BESAR, 45300 SUNGAI BESAR, SELANGOR
 

Traktor mini, itulah era permulaan perkembangan industri sawit di negara kita. Kemajuan dalam masa setengah abad amat membanggakan terutamanya dalam merealisasikan impian Malaysia sebagai negara maju dalam aspek pembangunan ekonomi melalui bidang perladangan. Penubuhan Institusi Penyelidikan Kelapa Sawit (PORIM) adalah langkah produktif dalam membangunkan Malaysia pada awalnya. 1 Mei 2000, tarikh keramat yang menjana kepada pembangunan penanaman kelapa sawit di Malaysia apabila tertubuhnya Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Lebih manis lagi, idea MPOB untuk mewujudkan Pusat Penjeteraan Ladng yang dikhususkan bagi melakasanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang mekanisasi perladangan sekali gus mempertingkatkan penggunaan jentera di ladang sawit. 

Kini, jentera-jentera perladangan yang dihasilkan oleh Pusat Penjenteraan Ladang MPOB mencecah angka tiga puluh seperti mana yang diucapkan oleh Tan Sri Bernard Dompok semasa merasmikan Seminar Kebangsaan Mekanisasi Ladang (Palm Mech) 2010. Antara mekanisasi kejenteraan yang berjaya dibangunkan oleh MPOB ialah Galah Penuai Aluminium, Pemungut Tandan Buah Sawit dan lain-lain lagi. Penggunaan mekanisasi kejenteraan ini memberi banyak manfaat. 

Menerusi petunjuk keberhasilan utama (KPI) negara, penggunaan mekanisasi di ladang sawit di Malaysia dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga buruh berikutan masalah pengangguran yang tiada noktahnya. Penggunaan mekanisasi di ladang sawit dapat menggantikan tenaga manusia dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Selain itu, negara juga dapat memperbaiki imbangan pembayaran apabila tidak mengimport jentera perladangan daripada negara luar. Hal ini, kerana, MPOB telah berjaya mencipta jentera perladangan yang dapat diaplikasikan oleh pelbagai pihak sekaligus dapat menjimatkan kos pengeluaran untuk membeli jentera dari luar negara. 

Negara juga dapat meningkatkan produktiviti sawit apabila menggunakan jentera perladangan. Hal ini dapat dibuktikan melalui alat penuai mekanisasi (Cantas) dimana berupaya meningkatkan tuaian buah tandan segar sebanyak 2.8 tan bagi setiap pekerja sehari berbanding 1.5 tan menggunakan alat konvensional. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

MPOB hasil penilaian kitar hidup industri sawit

Kajian LCA tingkatkan kemampanan industri sawit 

INDUSTRI minyak sawit negara bukan sekadar mahu meningkatkan hasil pengeluaran malah turut memberi komitmen jitu terhadap pemantauan/penjagaan alam sekitar supaya setiap aktiviti dalam meningkatkan hasil sawit negara tidak menjejaskan sistem ekologi sedia ada dan akhirnya boleh menyebabkan kemusnahan kepada alam sekitar.

Sehubungan itu, kumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) diketuai Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Choo Yuen May, berjaya membangunkan analisis penilaian kitar hidup bermula dari tapak semaian hingga penghasilan dan penggunaan biodiesel sawit.
Antara tujuan utama penilaian kitar hidup ini adalah bagi mengekalkan industri sawit dan daya saing global dalam menghadapi peningkatan kos pengeluaran selain meningkatkan produktiviti serta menunjukkan kemampanan dan komitmen terhadap penyelesaian kesan terhadap alam sekitar. 

Pada 2004, Choo menginisiatifkan kajian Penilaian Kitaran Hidup atau Life Cycle Assessment (LCA) dan pada 2006 kajian dimulakan ke seluruh rantaian pemprosesan termasuk penghasilan biodiesel sawit bagi menyediakan maklumat terkini mengenai penjagaan alam sekitar. 

LCA adalah alat untuk menilai beban alam sekitar yang dikaitkan dengan produk, proses atau aktiviti dengan mengenal pasti dan mengukur tenaga serta bahan digunakan termasuk sisa yang dilepaskan ke alam sekitar. Kajian MPOB ini hanya tertumpu kepada produk minyak sawit Malaysia termasuk biodiesel sawit dari sawit yang ditanam di tanah mineral. 

Kajian LCA dilakukan berdasarkan sub-sistem termasuk aktiviti di tapak semaian sawit, ladang sawit, kilang sawit, kilang isirung sawit, kilang penapisan dan pemeringkatan sawit, loji penghasilan biodiesel dan penggunaan biodiesel sawit dalam kenderaan enjin diesel. 
Kumpulan penyelidik LCA iaitu Dr Halimah Muhamad (tapak semaian sawit), Dr Zulkifli Hashim (ladang sawit), Dr Vijaya Subramaniam (kilang sawit dan kilang isirung sawit), Dr Tan Yew Ai (kilang penapisan dan pemeringkatan sawit) dan Dr Puah Chiew Wei (kilang biodiesel sawit) melakukan penilaian berkenaan yang merangkumi penanaman kelapa sawit di tapak semaian dan ladang sawit; pengekstrakan dan pemprosesan minyak sawit dan bahan isirung sawit, penghasilan biodiesel sawit, pengangkutan, penggunaan biodiesel sawit, kitar semula dan pelupusan akhir. 

Selain itu, kajian LCA berkenaan dilakukan mengikut garis panduan ISO 14040 dan ISO 14044. MPOB berjaya menyiapkan kertas kerja berkaitan LCA industri sawit pada 2010 dengan dibantu pelbagai sektor daripada industri sawit dalam membekalkan maklumat berkaitan kajian dijalankan. 

Keputusan LCA ini melalui proses pengesahan dan diluluskan panel bertauliah antarabangsa terdiri daripada pakar pengamal LCA terkenal. 

Hasil kajian LCA ini boleh didapati dalam International Journal of LCA dan Journal of Oil Palm Research. Data inventori yang diterbitkan itu boleh digunakan sebagai rujukan oleh pihak industri sawit Malaysia dalam usaha pengurusan alam sekitar. 

Di samping itu, data dari kajian LCA dihantar ke organisasi seperti Joint Research Centre of the European Commission and the Environmental Protection Agency of the US bagi tujuan pengesahan dan kemampanan biodiesel sawit di peringkat global. Ini akan memberi ruang pemasaran yang luas bagi produk berkaitan biodiesel sawit. 

Sebagai contoh, hasil daripada salah satu kajian berkenaan, kumpulan penyelidik memperoleh cara memerangkap biogas menggunakan tangki digestor atau kaedah penutupan kanvas di kolam anaerobik sama ada dibakar (flaring) atau digunakan untuk menghasilkan tenaga berbanding kaedah biasa biogas terhasil itu dilepaskan ke udara secara meluas semasa pengolahan sisa buangan kilang sawit. 

Hasil kajian LCA itu mendapati berlaku pengurangan ketara terhadap pelepasan biogas ke udara dan secara tidak langsung mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan mencadangkan supaya semua kilang sawit memerangkap biogas bagi tujuan menjana tenaga elektrik sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui. 

Kini, ada 30 kilang sawit yang menjana tenaga elektrik dari biogas dan dijual kepada TNB/ SESB. 

Dalam industri minyak sawit, LCA memainkan peranan dengan menyediakan butiran terperinci terhadap kesan alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti dan proses sepanjang rantaian bekalan minyak sawit. Dengan maklumat LCA, industri boleh menjalankan proses pembaikan sepanjang rantaian bekalan untuk meningkatkan kemampanan industri sawit negara. 

MPOB turut memainkan peranan mempromosikan kesedaran alam sekitar dalam industri sawit negara melalui seminar, perkhidmatan, perundingan dan kursus bagi meningkatkan pengetahuan kepada semua industri sawit dan seterusnya mengamalkan pendekatan penilaian kitaran hidup sebagai alat yang dapat menyumbang kepada kemampanan industri sawit negara. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Jarak, saiz polibeg hasilkan benih berkualiti

BANGI: Untuk menghasilkan anak benih sawit dengan kos efektif dan berkualiti tinggi, pengusaha tapak semaian perlu mengambil kira kombinasi jarak susunan dan saiz polibeg yang sesuai digunakan untuk anak benih sewaktu ia membesarnya di tapak semaian. 

Berdasarkan kajian MPOB, kombinasi kedua-dua faktor itu serta tempoh masa maksimum anak benih perlu berada di tapak semaian sebelum dipindah untuk di tanam ke ladang adalah perkara utama yang perlu diambilkira untuk menghasilkan anak benih berkualiti.

Pegawai Penyelidik Kanan, Ahmad Afandi Murdi, berkata demikian semasa membentang kertas kerja bertajuk ‘Kesan Jarak Susunan dan Saiz Polibeg ke atas Tumbesaran Anak Benih Sawit’ sempena Seminar CoPN Menjamin Pengeluaran Anak Benih Sawit Berkualiti, baru baru ini.
“Penggunaan saiz polibeg yang berbeza memberi kesan ketara ke atas tumbesaran anak benih dan kesan ini dapat dilihat seawal anak benih berumur 8 bulan selepas ditanam. 

“Saiz polibeg yang sesuai digunakan adalah 15 x 18 inci (38cm x 45cm) dan sekiranya saiz polibeg yang lebih kecil digunakan akan merendahkan nilai setiap parameter tumbesaran seperti bilangan pelepah per pokok, panjang pelepah dan ketinggian anak benih. 

“Penggunaan saiz polibeg 15 x 18 inci (38cm x 45cm) dengan kandungan tanah lebih kurang 19 kg mampu menampung keperluan tumbesaran anak benih sawit dengan lebih baik berbanding saiz polibeg lain. 
“Penggunaan polibeg yang kecil akan menyebabkan pertumbuhan anak benih sawit menjadi tirus,” katanya. 
Ahmad Afandi berkata, penggunaan polibeg bersaiz itu dengan jarak tanaman 0.9 meter secara tiga segi sama juga adalah kombinasi terbaik dalam menghasilkan anak benih berkualiti kerana mampu meningkatkan pertumbuhan tampang dan berat kering keseluruhan anak benih sehingga berumur 12 bulan di tapak semaian. 

“Oleh yang demikian, pengusaha tapak semaian disaran supaya melakukan amalan dan kriteria ini dilaksanakan kerana ia adalah kaedah terbaik dalam mengurus dan menghasilkan anak benih berkualiti,” katanya. 

Beliau menjelaskan, umur anak benih sawit yang sesuai untuk mula dipindahkan dari tapak semaian dan ditanam ke ladang adalah anak benih yang minimum berumur 10 bulan. 

Anak benih berumur 10 bulan mampu menghasilkan Buah Tandan Segar (BTS) yang setara dengan anak benih yang berumur 12 bulan yang ditanam mengikut amalan kebiasaan masa kini. 

“Ia mampu mengurangkan kos pengurusan tapak semaian selama dua bulan dan sekiranya pengusaha bercadang menghasilkan anak benih sehingga 10 bulan saja, mereka boleh menggunakan polibeg bersaiz kecil, 12 x 15 inci dengan jarak 0.75 meter. 

“Melalui kaedah ini, bilangan anak benih yang ditanam akan dapat ditingkatkan daripada 12,000 pokok untuk jarak 0.9 meter kepada 20,050 pokok bagi jarak 0.75 meter,” katanya. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Bentang hasil penemuan kajian bagi pencegahan penyakit kronik

LAS VEGAS: Persidangan Antarabangsa Tokotrienol dan Penyakit Kronik Kali Kedua yang dianjurkan Pejabat Wilayah MPOB, Amerika Syarikat dengan kerjasama Ibu Pejabat MPOB, di sini, baru baru ini, mendapat sambutan amat menggalakkan.

Tujuan persidangan adalah bagi mempromosi tokotrienol minyak sawit dan membentangkan kebaikannya penemuan kajian bagi pencegahan penyakit kronik seperti kanser usus, kanser prostat, kanser payudara, penyakit kardiovaskular, penyakit saraf dan inflamasi.
Persidangan dua hari itu berlangsung di Hotel Wynn. Seramai 31 penceramah dari 5 negara termasuk Malaysia, AS, Korea Selatan, Itali dan Turki membentangkan hasil kajian berhubung tokotrienol. 75 peserta menyertai persidangan ini. 

Saintis dan Penyelidik MPOB juga turut membentang kertas kerja termasuk Dr Kalanithi Nesaretnam, Dr Fu Ju Yen, Dr Harrison Lau Lik Nang dan Puan Zaizuhana Shahrim. 

Persidangan itu adalah usaha MPOB membantu industri sawit Malaysia mempromosikan tokotrienol berasaskan sawit di pasaran AS. 

Syarikat Malaysia seperti ICOF (M) Sdn Bhd, SuperVitamins Sdn Bhd, Carotino Sdn Bhd, Mawang Sdn Bhd, Palm Neutraceuticals Sdn Bhd, Hovid Berhad dan Davos Life Science Pte Ltd (anak syarikat Kumpulan KLK) dari Singapura turut menyertai persidangan ini. 
Persidangan 2 hari itu dibahagikan kepada 4 sesi yang membincangkan tajuk berhubung kait dengan Clinical Trials, Mechanistic Insight and Method of Analaysia, Role of Tocotrienols in Disease Prevention and Tocotrienols From Laboratory to the Market. 

Antara saintis terkemuka membentangkan kertas kerja adalah Dr Chandan Sen (AS), Dr Bharat Aggarwal (AS), Dr Francesco Galli (Itali), Dr Ki Baik Halm (Korea Selatan), Dr Nesrin Kartal Ozer (Turki) dan Prof Yuen Ka Hay (Malaysia). 

Persidangan turut membincangkan langkah perlu dilaksanakan bagi menjamin kejayaan proses pengkomersialan tokotrienol di AS. 

John Low daripada PEMANDU yang membentangkan kertas kerja bertajuk Palm Oil: National Focus menjelaskan kepentingan produk berasas tokotrienol sawit sebagai penjana pendapatan kepada industri dan ekonomi negara. 

Beliau berkata, di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) yang menjadi teras kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP), 12 sektor industri dipilih Kerajaan Malaysia sebagai penjana pertumbuhan penting termasuklah industri minyak sawit. 

Di bawah NKEA, industri sawit disasar menjana Pendapatan Kasar Negara sebanyak RM178 bilion menjelang tahun 2020 berbanding RM52.7 bilion pada tahun 2009. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kehebatan kelapa sawit Malaysia - Vitamin E minyak sawit bantu melawan serangan barah

KEKURANGAN vitamin E dikenal pasti telah menjadi penyumbang utama kepada peningkatan penyakit degeneratif di kalangan manusia. 

Fakta ini bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kepada sesiapa yang memahami fungsi vitamin E. Fungsi utama vitamin E ialah sebagai antioksida. Tanpa vitamin E, sel-sel membran, tapak enzim yang aktif dan DNA yang terdapat dalam badan manusia akan kurang dilindungi daripada kemusnahan akibat radikal bebas. 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, para penyelidik telah membuktikan bahawa subfamili vitamin E yang baru ditemui iaitu tocotrienol mampu memberikan perlindungan yang jauh lebih berkesan dalam menentang serangan penyakit berbahaya seperti jantung, barah payu dara dan kesan penuaan. 

Vitamin E sebenarnya mengandungi dua famili vitamer iaitu tocopherol dan tocotrienol, yang mana setiap satu daripadanya mengandungi empat fitonutrien semula jadi iaitu alpha, beta, gamma dan delta. Yang menariknya ialah kesemua fitonutrien semula jadi ini diekstrak dalam bentuk semula jadi daripada minyak kelapa sawit. Walaupun tocotrienol telah berada dalam rantaian makanan manusia selama lima ribu tahun, namun kesan baik sebatian tersebut kepada kita tidak pernah diketahui sehinggalah beberapa saintis dari AS berjaya menemuinya dalam penyelidikan mereka baru-baru ini. 

Seorang saintis terkemuka AS, Profesor Paul Sylvester dari Universiti Louisiana yang banyak membuat penyelidikan mengenai khasiat minyak sawit berpendapat, tocotrienol yang terdapat dalam minyak sawit mampu menghindari serangan barah payudara. 

Penyelidikan beliau terhadap tocotrienol dalam minyak sawit telah mendapat kerjasama penuh Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM). Menurut Sylvester, vitamin E telah dikenali sebagai zat makanan penting sejak 1922 tetapi ramai pakar perubatan dan saintis yang masih belum pernah mendengar tentang tocotrienol. 

Dalam penyelidikannya, Paul mendapati, minyak sawit merupakan satu-satunya sumber semula jadi yang kaya dengan tocotrienol. Beliau berkata, sebatian ini tidak terdapat pada minyak sayuran seperti kacang soya, canola, jagung, bunga matahari, biji kapas dan safflower yang sering digunakan oleh pengguna di seluruh dunia dalam masakan. 

Katanya, vitamin E yang terdapat pada minyak sayuran tersebut hanya mengandungi tocopherol tetapi tidak mengandungi tocotrienol sama sekali. Daripada jumlah keseluruhan vitamin E yang terdapat pada buah kelapa sawit, ia dikenal pasti mengandungi 70 peratus tocotrienol dan 30 peratus tocopherol. Sumber lain yang dipercayai turut mengandungi tocotrienol ialah bahagian bran dan germa bijirin seperti barli dan beras. 

Sementara itu, rakan Paul, Profesor Andre Theriaolt dari Universiti Hawaii berkata, kewujudan tocotrienol semakin disedari akhir-akhir ini kerana terdapat banyak bukti yang menunjukkan kepentingan sebastian itu sebagai antioksida dalam badan manusia. 

Menurut Theriaolt, sebagai antioksida yang mempunyai kemampuan 40 hingga 60 kali lebih baik berbanding alfa-tokoferol, tokotrienol boleh menghapuskan radikal bebas yang terhasil akibat pendedahan sel-sel kulit kepada sinaran matahari dan bahan-bahan cemar dalam persekitaran kita, serta radikal bebas yang terhasil melalui metabolisme biasa dalam badan manusia. 

Katanya, jika dibiarkan, radikal bebas ini boleh menyerang lemak di membran sel, merosakkan enzim selular serta merosakkan bahan genetik DNA dalam badan manusia. 

Menurut beliau, vitamin E menghindarkan manusia daripada kolesterol jahat seperti lipoprotein berdensiti rendah (ldl) daripada dioksidakan oleh bahan radikal bebas yang terdapat pada dinding-dinding pembuluh darah manusia. 

Katanya, ia juga boleh menghindarkan pembentukan darah beku di arteri, menghalang pertumbuhan sel-sel barah, melindungi kulit serta melambatkan proses penuaan dan meningkatkan sistem imunisasi badan. 

Dalam bidang kajian barah pathogenesis, misalnya, penyelidik dari Universiti Western Ontario di Kanada dan Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit Malaysia (PORIM) telah membuktikan bahawa tocotrienol yang terdapat pada minyak sawit menghalang pertumbuhan sel-sel tumor dalam badan tikus-tikus makmal yang telah dijangkitkan dengan barah payu dara secara kimia. 

Pasukan penyelidik tersebut juga berjaya menunjukkan bahawa tocotrienol minyak sawit turut mampu menghalang pertumbuhan sel-sel barah manusia dalam makmal. Lebih menarik lagi ialah fungsinya didapati sama berkesan dengan Tamaxifen (sejenis dadah yang biasa digunakan untuk rawatan barah payudara) apabila digunakan secara tunggal dan menjadi beberapa kali ganda lebih berkesan jika digunakan bersama Tamaxifen. 

Di AS, tahap pemakanan yang disyorkan melalui The Recommended Dietary Allowance (RDA) bagi vitamin E adalah sebanyak 30mg iaitu bersamaan dengan dua sudu (30g) daripada minyak sawit yang diperkaya dengan tocotrienol. Walaupun 30mg adalah mencukupi untuk mencegah penyakit kekurangan zat di kalangan orang sihat, RDA tidak mengambil kira faktor persekitaran yang mampu meningkatkan keperluan harian bagi vitamin E akibat perbezaan gaya hidup, penyakit mahupun pendedahan terhadap bahan-bahan cemar. 

Kini terdapat banyak produk penjagaan kesihatan, kulit dan rambut yang mengandungi vitamin E di pasaran. 

Bagaimanapun, kebanyakan produk ini mengandungi bentuk vitamin E yang tidak sesuai. Bentuk vitamin E yang digunakan akan menentukan sama ada anda mendapat faedah sepenuhnya atau tidak mendapat sebahagian besar daripada faedahnya. 

Namun begitu, sekiranya anda berminat mendapatkan vitamin E yang bermutu yang turut mengandungi campuran tocotrienol, anda boleh mendapatkan Tocovid SupraBio di mana-mana farmasi berdekatan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Pengoperasian loji komersial briquette sawit di kilang kelapa sawit


Pengoperasian loji komersial briquette sawit di kilang kelapa sawit adalah lebih ekonomikal dan amat strategik dimana bahan mentah biojisim sawit dan tenaga pengoperasian loji daripada sumber biogas dan loji daripada sumber biogas dan loji dwi tenaga dapat diperoleh terus daripada kilang kelapa sawit berkenaan.

Ia sangat menjimatkan pengusaha kilang. Lagipun kilang yang menggunakan bahan bakar briquette sama ada untuk loji penjanaan dwi tenaga mahupun menggantikan arang batu berhak mendapat keuntungan sampingan dengan penjualan pengurangan gas rumah hijau ataupun kredit karbon kepada negara maju melalui Mekanisma Pembangunan Bersih (CDM).

Antara syarikat tempatan yang sedang menguji penggunaan briquette sawit ini termasuklah kilang pengeluar sarung tangan, simen dan pengeluar makanan. CDM adalah satu skim di bawah Protokol Kyoto yang membantu negara membangun mencapai pembangunan mampan melalui penjualan pengurangan gas pelepasan yang diperakui.

Industri sawit negara adalah diantara industri yang sangat berpotensi untuk merebut peluang ditawarkan melalui aktiviti CDM selain membantu industri ke arah pembangunan mampan dan lebih mesra alam.
Penggunaan bahan bakar biojisim sawit terutamanya buah tandan kosong (EFB) dan tempurung sawit antara projek di bawah aktiviti CDM yang berpotensi bagi industri sawit.

Tiga lagi projek ialah pemerangkapan metana dan penggunaan sisa kumbahan untuk penjanaan tenaga; pengkomposan menggunakan effluen dan EFB; serta biodiesel dari minyak sawit.

Kejayaan kerjasama penghasilan briquette sawit secara komersial ini adalah satu lagi pendekatan yang berupaya membantu industri sawit negara terutamanya kepada pengilang kelapa sawit ke arah pelupusan bahan buangan sawit yang lebih sistematik, mesra alam dan menguntungkan sekali gus meningkatkan imej industri sawit ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Tandan sawit hasilkan bahan bakar briquette


Briquette berpotensi sumber tenaga diperbaharui dalam bentuk pepejal.

Satu lagi kejayaan penyelidikan usaha sama MPOB dengan pihak industri yang berjaya dikomersialkan ialah penghasilan bahan bakar ‘briquette’ daripada tandan buah kosong dan tempurung sawit atau biojisim sawit.
Kejayaan pengkomersialan bahan bakar briquette dari bahan biojisim sawit sekali gus memperluaskan potensi penggunaan biojisim sawit sebagai sumber tenaga diperbaharui dalam bentuk bahan bakar pepejal yang seragam dan berketumpatan tinggi.

Proses ini juga berpotensi untuk meningkatkan nilai tenaga dan proses pembakaran yang baik serta memudahkan proses penyimpanan dan logistik. Ciri-ciri ini secara tidak langsung meningkatkan nilai komersial briquette sawit bagi pasaran tempatan dan luar negara.

Briquette sawit berbentuk silinder berdiameter 9 sentimeter dihasilkan melalui proses pemampatan sisa gentian tandan buah kosong dan tempurung sawit pada suhu dan tekanan tinggi menggunakan teknologi penekan piston (piston press).

Secara umumnya briquette sawit yang dihasilkan mempunyai ketumpatan sekitar 1200-1300kg/m3 serta nilai tenaga di antara 4,000 hingga 4,500 kCal/kg.

Buat pertama kalinya, bahan bakar briquette berasaskan biojisim sawit dihasilkan secara komersial untuk pasaran luar negara. MPOB sebelum ini memang sudah membuat penyelidikan mengenai penghasilan bahan bakar briquette sawit sejak tahun 2004 dan hasil kajian itu digunakan untuk kajian lanjut bersama pihak industri.

Hasilnya, MPOB dan GGS berjaya menghasilkan bahan bakar briquette sawit yang mampu menjadi bahan bakar alternatif kepada penggunaan arang batu seperti biasa digunakan di loji penjanaan kuasa dan pendandang stim. Kejayaan ini berkat komitmen jitu GGS seta galakan dan kerjasama di antara penyelidik dan kakitangan di Bahagian Kejuruteraan dan Pemprosesan MPOB.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS